Senarai Pelepasan Cukai LHDN 2018 Untuk Efiling 2019 (Pendapatan/Individu)


Pelepasan cukai bermaksud jumlah yang dibenarkan untuk penolakan kepada pendapatan yang akan dicukaikan. Anda boleh rujuk contoh mudah yang disediakan di bawah untuk lebih memahami maksud pelepasan cukai.

Seorang pekerja memperoleh gaji sebanyak RM80,000 bagi tahun 2018. Jadi, jumlah RM80,000 itu perlu dilaporkan dalam e-Filing tetapi pekerja tersebut tidak dikenakan cukai terhadap keseluruhan jumlah gajinya tahun itu iaitu sebanyak RM80,000 kerana beberapa pelepasan cukai yang dibenarkan oleh kerajaan.

Dalam erti kata lain, jumlah gaji yang digunakan untuk beberapa perkara itu ditolak daripada termasuk dalam amaun pembayaran cukai. Jumlah gaji tahunan yang akan dikenakan cukai adalah sebanyak RM34,000 setahun.

Sekiranya gaji anda melebihi paras RM34,000 setahun, anda perlulah mendaftar fail cukai pendapatan di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seluruh negara. Untuk tujuan pendaftaran tersebut, anda perlu membawa beberapa dokumen sokongan seperti berikut:

  • Satu salinan Borang Penyata Pendapatan (Borang EA/EC) terkini / Slip Gaji terkini ;
  • Satu salinan kad pengenalan/kad pengenalan polis/kad pengenalan tentera/passport antarabangsa ;
  • Satu salinan sijil perkahwinan (jika ada)

Untuk makluman anda, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) iaitu sebuah badan yang bertanggungjawab dalam menguruskan cukai telah mengeluarkan senarai pelepasan cukai tahun 2018 untuk tujuan pengisian e-Filing bagi tahun 2019.

Ingin mengetahui senarai pelepasan cukai tersebut? Dalam artikel ini kami kongsikan Senarai Pelepasan Cukai LHDN 2018 Untuk Efiling 2019 (Pendapatan/Individu) sebagai panduan dan juga makluman buat anda.

JENIS PENDAPATAN YANG DIKENAKAN CUKAI

Namun, sebelum mengetahui senarai pelepasan cukai tersebut, ada baiknya untuk anda tahu jenis-jenis pendapatan yang akan dikenakan cukai. Berikut merupakan jenis-jenis pendapatan tersebut.

  1. Perniagaan atau profession
  2. Penggajian
  3. Dividen
  4. Faedah
  5. Diskaun
  6. Sewa
  7. Royalti
  8. Premium
  9. Pencen
  10. Anuiti
  11. Lain-lain

SENARAI PELEPASAN CUKAI 2018 UNTUK TUJUAN E-FILING 2019

LHDN telah mengumumkan sebanyak 21 senarai pelepasan cukai untuk tahun 2018. Anda perlulah meneliti setiap satu daripadanya jika ianya terdapat dalam perbelanjaan gaji anda supaya anda boleh menikmati pelepasan cukai. Berikut merupakan senarai 21 jenis pelepasan cukai tersebut.

1.) Individu dan saudara tanggungan (jumlah sehingga RM9,000)

2.) Penjagaan Ibu Bapa

  • Perbelanjaan untuk rawatan perubatan, keperluan khas dan penjaga ibu bapa. Keadaan kesihatan ibu bapa perlulah disahkan oleh pengamal perubatan. (jumlah sehingga RM5,000) ATAU
  • Ibu dan Bapa (jumlah RM3,000)
  • Terhad 1,500 bagi hanya seorang ibu
  • Terhad 1,500 bagi hanya seorang bapa

3.) Peralatan Sokongan Asas hanya untuk individu kurang upaya (OKU), suami atau isteri, anak atau ibubapa yang kurang upaya. (jumlah sehingga RM6,000)

4.) Perbelanjaan individu Kurang Upaya (OKU). (jumlah hingga RM6,000)

5.) Yuran Pendidikan (Sendiri) (RM7,000)

  • Bagi peringkat selain Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD) – bidang undang-undang, perakaunan, kewangan Islam, teknikal, vokasional, industri, saintifik atau teknologi;
  • Bagi peringkat Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD) – sebarang bidang atau kursus pengajian

6.) Perbelanjaan perubatan penyakit yang sukar diubati (sama ada individu atau suami/isteri atau anak-anak) (jumlah sehingga RM6,000)

7.) Perbelanjaan bagi tujuan pemeriksaan perubatan penuh (Diri sendiri, suami / isteri atau anak) (jumlah sehingga RM500)

8.) Gaya Hidup (jumlah sehingga RM2,500)

  • Pembelian buku, jurnal, majalah, surat khabar bercetak dan penerbitan (selain bahan bacaan terlarang) untuk diri sendiri, suami / isteri atau anak;
  • Pembelian komputer peribadi, telefon pintar atau tablet untuk diri sendiri, suami / isteri atau anak;
  • Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (tidak terpakai bagi jenis basikal bermotor) dan bayaran keahlian gimnasium untuk diri sendiri, suami / isteri atau anak; dan
  • Bayaran langganan internet

9.) Pembelian peralatan penyusuan (sehingga RM1,000) dan terhad kepada sekali dalam tempoh dua tahun taksiran.

10.) Perbelanjaan yuran penghantaran anak 6 tahun ke bawah ke Pusat Asuhan Kanak-Kanak atau Pra-sekolah (sehingga RM1,000)

11.) Tabungan bersih dalam skim SSPN (Jumlah simpanan dalam tahun 2018 TOLAK jumlah pengeluaran dalam tahun 2018) (RM6,000)

12.) Suami/Isteri/Bayaran alimoni kepada bekas isteri (RM4,000)

13.) Suami atau Isteri pembayar kurang upaya (RM3,500)

14.) Pembiayaan anak di bawah umur 18 tahun (RM2,000)

15.) Pembiayaan anak yang belum berkahwin dan berumur 18 tahun dan ke atas dan menerima pendidikan sepenuh masa (peringkat A-Level, sijil, matrikulasi, persediaan atau pra-ijazah) (RM2,000)

16.) Anak yang belum berkahwin dan berumur 18 tahun dan ke atas tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • mengikuti kursus di peringkat diploma dan ke atas di institusi pengajian tinggi dalam Malaysia (tidak termasuk kursus matrikulasi/pra-ijazah).
  • mengikuti kursus di peringkat ijazah dan ke atas di institusi pengajian tinggi luar Malaysia.
  • kursus dan institusi pengajian tinggi diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan.

17.) Anak Kurang upaya (RM6,000)

  • Pelepasan tambahan sebanyak RM8,000 bagi anak kurang upaya berumur 18 tahun dan ke atas, belum berkahwin dan mengikuti diploma ke atas di dalam Malaysia peringkat ijazah ke atas di luar Malaysia dalam kursus dan di IPT yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan.

18.) Insuran nyawa dan KWSP TERMASUK tidak melalui potongan gaji (RM6,000)

19.) Skim Persaraan Swasta dan Anuiti Tertunda (Deferred Annuity) – berkuatkuasa mulai Tahun Taksiran 2012 hingga tahun taksiran 2021. (RM3,000)

20.) Insurans pendidikan dan perubatan TERMASUK tidak melalui potongan gaji (RM3,000)

21.) Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) (RM250)

Jika diteliti, pelepasan cukai yang tidak tersenarai pada tahun ini adalah potongan cukai sebanyak RM10,000 untuk pembelian rumah seperti yang tersenarai pada tahun sebelum ini. Diharapkan semoga artikel ini memberi manfaat buat anda!