Maklumat Yang Perlu Dimasukkan Dalam Resume Mengikut Struktur Dan Turutan Yang Betul


Soalan yang sering didengari daripada graduan adalah “Apakah maklumat yang perlu saya masukkan dalam resume?” dan juga “Bagaimana nak susun maklumat dalam resume mengikut susunan yang betul?”

Sebagai seorang graduan dan calon temuduga, anda wajib ketahui maklumat-maklumat yang perlu dimasukkan ke dalam resume mengikut struktur yang betul.

Jadi, kami akan kongsikan dengan anda Maklumat-maklumat Yang Perlu Dimasukkan Dalam Resume Anda Mengikut Struktur Dan Turutan Yang Betul berdasarkan pengalaman calon temuduga.

Sila pastikan anda menyediakan kesemua maklumat yang diinginkan dalam resume serta menyusun resume mengikut turutan yang betul seperti yang kami kongsikan.

MAKLUMAT-MAKLUMAT APAKAH YANG PERLU DIMASUKKAN KE DALAM RESUME?

Berikut merupakan maklumat-maklumat yang wajib calon temuduga masukkan ke dalam resume anda. Nasihat kami adalah jangan sesekali tertinggal walaupun satu maklumat yang disenaraikan ini.

Berikut merupakan maklumat-maklumat yang perlu dimasukkan mengikut susunannya.

  1. Nama Dan Contact
  2. Ringkasan Karier
  3. Sejarah Pekerjaan
  4. Skil
  5. Pendidikan
  6. Penglibatan
  7. Pencapaian

1.) NAMA DAN CONTACT

Pada bahagian paling atas resume anda, sila letakkan nama, alamat emel yang profesional. Selain itu, anda juga dinasihatkan untuk meletakkan nombor telefon serta alamat anda. Alamat sangat penting terutama sekali sekiranya anda memohon kerja di luar kawasan.

Seterusnya, di bahagian ini, anda dinasihatkan untuk menggunakan corak yang simple serta warna yang menarik tetapi tidak menganggu konsentrasi penemuduga. Gunakan juga font tulisan yang formal seperti Arial dan Times New Roman.

Berikut kami sediakan satu contoh resume untuk bahagian nama dan contact yang boleh anda jadikan panduan.

maklumat dalam resume 1

2.) RINGKASAN KARIER

Di bawah nama dan contact anda, sertakan maklumat ini. Maklumat ini hanya memerlukan 2 hingga 3 baris untuk diisi berkaitan dengan kelayakan serta kepujian yang anda miliki sepanjang karier anda.

Untuk makluman anda, ruangan ini bukanlah untuk ruangan objektif. Jadi, tidak perlu masukkan objektif di ruangan ini. Sebenarnya, majikan sudah pun tahu objektif anda iaitu untuk bekerja di tempat mereka.

Ringkasan karier ini adalah untuk penemuduga melihat kemajuan serta pencapaian yang berjaya anda raih sepanjang karier anda yang lalu.

3.) SEJARAH PEKERJAAN

Jika anda pernah bekerja sebelum ini (termasuklah internship) di sinilah ruangan untuk anda masukkan maklumat-maklumat tersebut. Maklumat inilah sebenarnya yang majikan ingin lihat dalam resume anda.

Jadi, maklumat ini perlulah diletakkan di bahagian hadapan resume iaitu selepas muka surat yang mengandungi nama serta contact calon temuduga.

Sijil-sijil ataupun bukti-bukti pekerjaan anda ini perlulah disusun dalam susunan yang betul berdasarkan masa bertugas (Letakkan yang [paling terkini letakkan dahulu.), senarai tajuk, nama syarikat, dan juga tarikh.

Anda memerlukan setengah ataupun satu mukasurat resume. Kemudian, sila tulis senarai kerjaya anda menggunakan point form tetapi perataannya secara lengkap. Pada point form itu, tidak perlu tulis tentang bidang tugas anda tetapi ketengahkan pencapaian karier anda.

Berikut kami sediakan contoh bagi ruangan Sejarah Pekerjaan dalam resume anda.

maklumat dalam resume 2

4.) SKIL

Ruangan skil merupakan salah satu ruangan maklumat yang sangat penting juga untuk anda masukkan dalam resume. Hal ini kerana majikan sangat memerlukan pekerja yang mempunyai skil yang tinggi. Jadi, amat penting untuk anda sertakan maklumat tentang skil anda.

Anda mungkin merasakan bahawa skil sepatutnya diletakkan terlebih dahulu sebelum ruangan Sejarah Pekerjaan kerana majikan semestinya mahu melihat skil apa yang anda ada sebelum anda bekerja.

Namun, seperti yang diterangkan tadi, ruangan Sejarah Pekerjaan merupakan ruangan yang pertama akan dilihat oleh majikan, Jadi sebab itulah ruangan Sejarah Pekerjaan diletakkan lebih atas daripada skil.

Majikan akan melihat ruangan sejarah kerja dan dengan mengetahui tempat anda bekerja, beliau sebenarnya sudah mendapat tahu sedikit sebanyak skil yang anda miliki.

Nasihat kami kepada anda adalah letakkanlah skil yang releven dan sesuai dengan kerjaya yang anda pohon itu. Tidak ada had untuk jumlah skil anda. Letakkanlah seberapa banyak skil yang anda ada dalam resume tersebut.

5.) PENDIDIKAN

Untuk ruangan pendidikan, letakkan nama sekolah, kolej, universiti yang anda belajar. Seterusnya letakkan nama bidang kursus serta tarikh graduasi anda. Jika anda telah lama graduasi tetapi masih tidak dapat kerja, anda boleh untuk tidak mengisi ruangan tarikh graduasi.

Anda juga digalakkan untuk meletakkan maklumat keputusan GPA anda dalam resume. Namun, ini sekiranya keputusan GPA anda adalah antara 3.00 – 4.00. Jika anda mendapat keputusan GPA yang kurang daripada itu, kami sarankan anda untuk tidak memmasukkan maklumat ini dalam resume.

6.) PENGLIBATAN

Sekiranya anda aktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, komuniti, chariti dan lain-lain sertakanlah juga semua aktiviti ini di dalam resume anda. Sila sertakan sekali lokasi, tarikh dan juga nama aktiviti yang anda terlibat itu.

Persoalannya, bagaimana sekiranya anda tidak menyertai apa-apa aktiviti kemasyarakatan? Jangan risau! Jika anda tidak menyertai apa-apa aktiviti kemasyarakatan, jangan letakkan ruangan ini dalam resume anda.

7.) PENCAPAIAN

Letakkan juga maklumat berkaitan semua kejayaan serta anugerah yang dianugerahkan kepada anda. Terpulang kepada anda sama ada untuk memisahkan ruangan ini kepada beberapa bahagian atau tidak. Sebagai contoh, bahagian pencapaian ini diasingkan kepada banyak bahagian iaitu pencapaian akademik, pencapaian kokurikulum dan lain-lain.

Akan tetapi, sekiranya anda ingin mencampurkan kesemua pencapaian dalam satu bahagian sahaja pun tidak salah juga, bergantung kepada anda sama ada ingin memisahkannya ataupun tidak.

Diharapkan semoga perkongsian ini dapat membantu anda dalam mengetahui maklumat yang perlu dimasukkan ke dalam resume mengikut struktur dan susunan yang betul. Selamat menulis resume dan selamat berjaya daripada kami.