Cara Menyemak Rebat Bil Elektrik RM40 Sama Ada Layak Atau Tidak


Pemberian rebat bil elektrik sebanyak RM40 kepada golongan sasar adalah merupakan salah satu insentif yang diumumkan oleh pihak kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang diadakan pada tahun lepas.

Golongan sasar yang layak akan memperoleh rebat untuk bil elektrik sebanyak RM40 setiap bulan. Langkah ini adalah salah satu usaha kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat yang memerlukan dalam membayar bil elektrik.

Dalam memastikan usaha ini mencapai matlamatnya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM80 juta khas untuk program ini.

Untuk makluman anda juga, tidak semua orang boleh memohon rebat ini. Rebat Bil Elektrik RM40 ini hanya boleh dimohon oleh mereka yang berdaftar di bawah Program e-Kasih sahaja.

Sekiranya anda telah berdaftar di bawah e-Kasih dan memenuhi segala syarat-syarat yang ditetapkan, anda bolehlah mengemukakan permohonan bagi program rebat bil elektrik ini. Setelah membuat permohonan, anda kemudian bolehlah membuat semakan sama ada anda layak atau tidak untuk menikmati rebat ini.

Ramai yang tertanya-tanya bagaimana untuk menyemak status sama ada permohonan anda diterima atau tidak. Jangan risau! Kami akan kongsikan Cara Menyemak Rebat Bil Elektrik RM40 Sama Ada Layak Atau Tidak dalam artikel ini sebagai panduan buat anda.

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN PERMOHONAN REBAT ELEKTRIK RM40

Selain daripada mereka yang berdaftar di bawah Program e-Kasih, terdapat beberapa lagi syarat-syarat kelayakan lain yang perlu dipenuhi oleh anda sekiranya anda ingin memohon rebat ini. Antara syarat-syarat kelayakan tersebut adalah seperti berikut:

  1. Ketua Isi Rumah (KIR) di bawah kategori miskin tegar dan miskin yang tersenarai dan disahkan dalam Sistem eKasih.
  2. Pendapatan isi rumah miskin tegar ialah kurang RM600 sebulan dan miskin kurang RM950 sebulan.
  3. Pendapatan Isi Rumah adalah berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) per kapita yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi
  4. Pengguna-pengguna elektrik yang layak menerima rebat ialah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar dan miskin yang disenaraikan dalam Sistem eKasih;
  5. Penerima yang layak akan menerima rebat RM40 sepanjang tahun 2019;
  6. Rebat bil elektrik akan diberikan sehingga RM40 sebulan sahaja. Sekiranya bil kurang daripada RM40, tiada baki akan dibawa ke bulan berikutnya dan jika bil melebihi RM40, penerima perlu membayar baki tersebut;
  7. Hanya satu akaun bil elektrik sahaja layak untuk menerima rebat bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kumpulan miskin/miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih;
  8. Rebat RM40 hanya terpakai kepada Tarif A (Domestik) sahaja;
  9. Rebat RM40 termasuk semua jenis caj (contohnya penalti lewat bayar);
  10. Rebat RM40 tidak termasuk tunggakan bil pada 2018;
  11. Pengguna boleh memilih untuk menukar nombor akaun elektrik yang akan menerima rebat dari semasa ke semasa; dan
  12. Bil elektrik sehingga RM40 sebulan akan ditolak terus daripada akaun pengguna.

CARA MEMOHON REBAT BIL ELEKTRIK RM40

Sekiranya anda telah memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan, anda bolehlah mengemukakan permohonan rebat bil elektrik RM40 ini. Caranya mudah sahaja. Anda perlu membuat pendaftaran di tempat-tempat berikut

  1. Pejabat Pembangunan Persekutuan atau,
  2. Jabatan Pembangunan Persekutuan di daerah masing-masing

CARA MENYEMAK STATUS REBAT BIL ELEKTRIK RM40

Setelah memohon, anda bolehlah menyemak status permohonan rebat bil elektrik RM40 tersebut sama ada anda layak atau tidak. Caranya mudah sahaja. Anda hanya perlu menyemak secara online. Berikut merupakan cara-caranya:

1.) Layari laman web rasmi MESTECC. Klik link yang telah disediakan di bawah.

Cara Menyemak Rebat Bil Elektrik RM40 Sama Ada Layak Atau Tidak

2.) Masukkan Nombor Kad Pengenalan anda dan klik ‘Cari’.

3.) Keputusan sama ada anda layak atau tidak terpapar.

4.) Jika anda ingin menyemak secara manual, anda bolehlah merujuk kepada pihak-pihak berikut:

  • Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)
  • Pejabat ADUN
  • Pejabat Ahli Parlimen
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat

MAKLUMAT LANJUT BERKAITAN REBAT BIL ELEKTRIK RM40

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan Rebat Bil Elektrik RM40 ini, anda bolehlah menghubungi talian-talian berikut:

Cara Menyemak Rebat Bil Elektrik RM40 Sama Ada Layak Atau Tidak

Rebat Bil Elektrik RM40 ini adalah insentif kerajaan kepada golongan yang betul-betul layak supaya beban mereka dapat dikurangkan. Jadi, sekiranya anda layak, mohonlah insentif ini. Semoga permohonan anda berjaya!